Polis Marin rampas rokok dan minuman keras bernilai RM1.8 juta di Limbang

Pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan dalam operasi tersebut.

LIMBANG, 9 Nov: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 di Limbang berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras yang tidak bercukai di Taman Sentosa Limbang.

Komander PPM Wilayah 5 ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata dalam operasi tersebut pelbagai jenis minuman keras dan rokok serta sebuah van dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM1.8 juta dirampas.

Katanya, seorang lelaki tempatan turut ditahan dalam operasi tersebut untuk siasatan lanjut.


“Taktik licik pasukan penyeludup menjadikan rumah kediaman sebagai gudang penyimpanan barang seludup telah berjaya dibongkar dalam operasi pada 5 November lalu.

“Hasil operasi telah menahan seorang lelaki tempatan serta merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok dipercayai tidak bercukai dan terdapat sebuah van yang turut dijadikan tempatan simpanan juga dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kesemua rampasan dianggarkan sebanyak RM1.8 juta kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut kes masih dijakankan di bawah Akta Kastam 1967.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan di negeri ini dengan menghubungi talian Hotline PPM Wilayah 5 (082-334111),” kata Zulfikar. — DayakDaily