Polis Kuching buru tiga suspek samun rumah di Jalan Stampin Tengah

PDRM logo

KUCHING, 11 Mei: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sedang memburu tiga suspek kes samun sebuah rumah di Jalan Stampin Tengah, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Superintenden Merbin Lisa berkata ketiga-tiga suspek merupakan lelaki yang telah melarikan wang tunai serta barang kemas dengan anggaran kerugian adalah RM20,000.

“Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan kejadian samun pada 10 Mei, jam lebih kurang 8.30 pagi di sebuah rumah di Jalan Stampin Tengah, Kuching.

“Pihak IPD Kuching dalam usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini juga boleh menyalurkannya ke IPD Kuching atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan sebatan.

Kejadian samun tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 3.30 pagi hari Rabu (10 Mei), yang mana suspek seramai tiga orang telah memecah masuk rumah tersebut melalui pintu belakang.

Difahamkan suspek bertopeng dan bersenjatakan pisau telah mengikat keempat-empat penghuni rumah tersebut sebelum mengeledah rumah berkenaan.

Ketiga-tiga suspek kemudian melarikan diri bersama-sama barang berharga dan wang tunai selepas itu.

Laporan polis kemudian dibuat oleh kesemua mangsa dan siasatan lanjut dijalankan. — DayakDaily