SIBU, Ogos 3: Seorang lelaki yang dipercayai ‘kenalan’ kepada seorang wanita yang ditemui mati di sebuah rumah sewa di Jalan Tiong Hua di sini semalam sedang diburu polis bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, buat masa ini polis sedang memburu seorang lelaki yang dikenali Philip Uja, 40-an yang berasal dari Kanowit.
Katanya, lelaki itu dikehendaki susulan maklumat yang diterima daripada rakan-rakan mangsa yang mendakwa simati sebelum ini ada memberitahu lelaki berkenaan ada berjumpa dengannya.
“Berdasarkan maklumat, lelaki berkenaan ada datang di sekitar kawasan rumah sewa mangsa pada malam 1 Ogos lepas.
“Ini mengukuhkan lagi dakwaan bahawa mereka saling mengenali, namun polis tidak mengetahui hubungan jelas antara simati dengan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Stanley memberitahu, pihaknya menolak dakwaan yang tular di media sosial mendakwa mangsa telah dirogol sebelum dibunuh.
Jelasnya, pihak polis masih menunggu pakar patologi dari Kuching untuk melakukan proses bedah siasat sama ada petang ini atau esok.
“Selepas kita menerima laporan penuh bedah siasat baru kita mengetahui punca kematian mangsa,” katanya.
Sambil menambah, orang ramai yang ada maklumat mengenai Philip agar menghubungi Balai Polis Sentral Sibu di talian 084-336144.
Laporan media semalam menyatakan, kebimbangan rakan sekerja terhadap seorang wanita yang gagal dihubungi dan tidak turun kerja membawa kepada penemuan mayat penjawat awam berkenaan di bilik sewanya di Jalan Tiong Hua.
Lebih memilukan, mayat wanita yang dikenalpasti sebagai Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, dijumpai dengan keadaan tangan dan kakinya diikat pada tepi katil di dalam bilik sewa berkenaan.
Mayat mangsa yang juga merupakan seorang penjawat awam ditemui kira-kira pukul 3 petang.
Wanita malang berkenaan dijumpai oleh rakan-rakan sekerjanya yang pergi ke bilik sewa mangsa selepas mangsa gagal dihubungi dan dikesan tidak turun bekerja.
Terkejut melihat keadaan mangsa yang sudah tidak bernyawa dan dengan keadaan tangan serta kakinya diikat, rakan wanita itu kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pasukan polis yang kemudiannya membuat pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mangsa mati dipercayai akibat dibunuh
Mangsa yang berasal dari Kanowit itu bekerja di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sibu. — DayakDaily