Polis keluarkan perintah halang lapan individu hadir di Mahkamah Sibu esok

Mohd Azman (dua kiri) pada sidang media di Kuching hari ini

KUCHING, 16 Okt: Pihak polis telah mengeluarkan perintah selama 7 hari bagi menghalang sebarang perhimpunan di Mahkamah Sibu mulai esok, 17 Oktober.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya turut menamakan 8 individu yang dilarang menghadiri perhimpunan tersebut.

“Polis Sarawak telah menerima maklumat bahawa satu perhimpunan akan diadakan di Mahkamah Sibu pada Selasa 17 Oktober 2023.


“Justeru perintah Mahkamah di bawah Seksyen 98 Tatacara Jenayah iaitu perintah sementara menghalang perhimpunan dalam kes-kes kacau ganggu telah dikeluarkan selama 7 hari mulai 17 hingga 23 Oktober 2023,” katanya.

Mohd Azman berkata demikian pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini.

Tambah beliau, perintah menghalang kehadiran lapan adalah melibatkan Mathew Mudai Umpi, Jonas Ling Lee King, Andrew Lau Chii Chiong, Alistair Lau Chi Kiat, Chua Yieng Hui, Lawrence Clement Ahsay, Napoleon Lawik dan Alim@Giovanni Adlim Mideh.

“Sekiranya penama-penama ingkar perintah tersebut, maka melakukan kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai sebulan.

“Atau denda yang boleh sampai RM400 atau kedua-duanya sekali.

“Dan jika keingkaran menyebabkan bahaya kepada nyawa atau mungkin menyebabkan rusuhan hendaklah dihukum dengan penjara yang boleh sampai 6 bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” tegas Mohd Azman. — DayakDaily