Polis gempur kegiatan dadah di Kuching, 21 ditangkap dari 15 hingga 23 Nov

Gambar komposit sepanjang operasi tersebut.

KUCHING, 24 Nov: Seramai 21 individu termasuk seorang wanita ditangkap kerana disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah sejak 15 hingga 23 Nov baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 44 tahun ditangkap dalam beberapa operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching.

Katanya, operasi telah dijalankan di Lorong Tun Ahmad Zaidi Adruce, Lorong Tungku Petra, Jalan Astana, Kampung Tabuan Hilir dan Jalan Ban Hock.


Jelasnya, tangkapan sebanyak 17 kes telah disiasat yang merangkumi 1 kes di Seksyen 38A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, lima kes di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan 11 kes Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Sembilan daripada suspek juga dikatakan mempunyai pelbagai rekod lampau kesalahan dadah.

Manakala pada 23 November, pihaknya dengan kerjasama perkhidmatan kurier di Kuching telah berjaya merampas sejumlah 9060 biji pil Erimin 5.

Anggaran nilai rampasan RM135,960 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952. — DayakDaily