Polis gagalkan cubaan seludup masuk 26 PATI di Serian

Antara PATI yang ditangkap dalam operasi tersebut.
Advertisement

SERIAN, 3 Ogos: Seramai 26 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan ketika cuba diseludup masuk oleh tiga tekong darat di sini.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata kesemua mereka ditahan pasukan Task Force dan anggota peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian pada 1 dan 2 Ogos baru-baru ini.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan dua tekong darat dan 17 PATI dilakukan di tepi jalan berdekatan Kampung Tangga, Jalan Serian-Tebedu kira-kira jam 11.15 malam.

Advertisement

“Kedua-dua lelaki tempatan terbabit disyaki tekong darat yang membawa Pati masuk ke negeri ini tanpa menggunakan laluan yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala seorang lagi tekong darat juga warga tempatan ditahan di tempat letak kereta bersebelahan stesen minyak Shell di sini kira-kira jam 12.10 tengah malam (2 Ogos).

“Hasil pemeriksaan mendapati dia membawa sembilan PATI di dalam kenderaannya,” katanya.

Jelas Aswandy juga, kesemua PATI yang berusia 1 hingga 42 tahun berkenaan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Tindakan kemudian diambil di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

Aswandy menyeru masyarakat agar menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang aktiviti penyeludupan dan tidak terlibat dalam membantu sindiket penyeludupan migran. — DayakDaily

Advertisement