Polis cekup wanita Indonesia disyaki terlibat jenayah dadah

Kelihatan dadah yang dirampas dari suspek.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Jun 26: Seorang wanita warga Indonesia dicekup polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di kawasan Sunny Hill di sini.

Serbuan kira-kira pukul 3.40 petang semalam itu turut berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 51.77 gram daripada suspek berusia 44 tahun tersebut.


Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata siasatan awal mendapati suspek telah terlibat dalam jenayah dadah sejak tahun lepas.

Katanya, dadah yang dirampas dari suspek dikatakan diperoleh dari pengedar tempatan.

“Nilai rampasan dadah daripada suspek dianggarkan berjumlah RM7,750.

“Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah,” katanya di sini hari ini.

Aidil menambah, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan. — DayakDaily