Polis cekup peniaga disyaki edar dadah

Dadah yang dirampas polis.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 16: Polis menahan seorang peniaga selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi satu serbuan di kondominium di Jalan Pisang Barat di sini pada 13 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif, dalam satu kenyataan hari ini, berkata seorang suspek berusia 43 tahun telah diberkas pada pukul 11.45 pagi setelah pihak polis bertindak daripada maklumat serta risikan yang telah dijalankan.


Jelasnya, dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan serbuan bersama lelaki itu telah pergi ke kondominium tersebut.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah suspek telah menjumpai lapan paket yang setiap satu berisi serbuk campuran ekstasi seberat 129gram dan disimpan dalam satu beg plastik.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan dadah yang dirampas itu adalah sebanyak RM2,400,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, siasatan lanjut mendapati suspek telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak akhir tahun lepas.

Katanya, saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah dan tiada rekod kesalahan lampau.

“Permohonan reman telah diluluskan selama 5 hari untuk membantu siasatan lanjut. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lagi. — DayakDaily