Pemilik premis perniagaan dihukum RM100,000 miliki rokok tiada duti Kastam

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) logo

Oleh Dean Adam

LIMBANG, Feb 16: Gara-gara memiliki rokok yang tiada duti Kastam, seorang lelaki dihukum denda sebanyak RM100,000 oleh Mahkamah Seksyen di sini semalam.

Hukuman ke atas tertuduh yang berusia 59 tahun itu telah dijatuhkan oleh Hakim Mohd Hafizi Abdul Halim.


Mahkamah Seksyen telah memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM100,000 atau dipenjara 12 bulan sekiranya gagal mejelaskan denda setelah tertuduh mengaku bersalah.

Tertuduh telah menjelaskan denda sebanyak RM100,000 pada hari yang sama.

Pertuduhan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang
boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1) (v) (aa) Akta Kastam 1967.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Limbang telah membuat serbuan di sebuah premis perniagaan di sini pada 11 Februari lalu.

Menerusi serbuan itu, pegawai Kastam telah menemui sebuah kotak yang mengandungi rokok pelbagai jenama yang keseluruhannya bernilai RM230.

Pemeriksaan lanjut dibuat dan tertuduh telah gagal membuktikan duti kastam dibayar ke atas rokok tersebut.

Kesemua barang rampasan dilucut hak dan dilupuskan kepada JKDM dibawah
Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, pengarah Kastam Sarawak Dato Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata
hukuman seumpamanya menjadi pengajaran kepada semua pihak yang memiliki, mengedar dan penjual rokok dan minuman keras yang belum lulus kastam supaya menghentikan aktiviti yang menyalahi perundangan yang ditadbir oleh JKDM. — DayakDaily