Oleh Dean Adam
SIBU, April 11: Seorang penganggur diberkas di sebuah rumah di Lorong Oya di sini hari ini selepas disyaki terlibat dalam jenayah pengedaran dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Sahar Abd Latif, berkata lelaki berusia 42 tahun itu diberkas pada pukul 10 pagi.
Katanya, menerusi serbuan itu, pasukan polis telah menemui 10 papan disyaki pil Erimin 5 yang setiap satu papan mengandungi 10 biji seberat 31.3 gram.
“Skuad serbuan turut menemui 14 paket plastik lutsinar yang setiap satu paket mengandungi hablur putih disyaki ketamin seberat 13 gram.
“Antara lain, polis juga menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi 58 biji pil pelbagai warna disyaki dadah ekstasi seberat 18.7 gram,” katanya di sini hari ini.
Sahar menambah, pemeriksaan lanjut menemui 8 paket plastik pelbagai warna masing-masing berisi campuran serbuk jus buah-buahan dan ekstasi seberat 204.2 gram.
Katanya, anggaran nilai rampasan dadah adalah sebanyak RM8,750.
“Siasatan lanjut mendapati suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun 2018 di sekitar pusat-pusat hiburan di sekitar Sibu.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan Seksyen 39A(1) ADB 1952,” ujarnya. — DayakDaily