Polis cekup dua lelaki disyaki curi peralatan telekomunikasi

Kelihatan kedua-dua suspek yang ditahan oleh polis.

Oleh Dean Adam

DALAT, Nov 22: Polis menahan dua lelaki selepas disyaki terlibat dalam aktiviti mencuri peralatan telekomunikasi di Sekuau di sini.

Kedua-dua suspek yang berusia 20-an diberkas semasa menceroboh Pusat Internet 1Malaysia Sekuau kira-kira pukul 9.52 malam, Selasa (Nov 20).


Ketua Polis Daerah Dalat, Dsp Roslan Leman berkata, suspek diberkas selepas pekerja di pusat Internet menghubungi pihak polis apabila menyedari kehadiran suspek berkenaan.

Katanya, sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian kemudian berjaya menahan kedua-dua suspek.

“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan awal mendapati terdapat dua lagi rakan suspek berjaya melarikan diri dalam serbuan yang dilakukan itu,” katanya di sini hari ini.

Roslan menambah, polis juga telah merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah berkenaan.

Katanya, pihak polis juga menyita sebuah kereta disyaki kereta curi yang digunakan oleh suspek.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya. — DayakDaily