Abang Jo: 5 projek pembangunan baru akan dilaksanakan di Serian tahun depan

Abang Johari (duduk enam dari kiri) bersama wakil rakyat dan wakil agensi kerajaan yang menghadiri Mesyuarat dan Taklimat Mengenai Pembangunan Bahagian Serian di Pejabat Residen Serian.

SERIAN, Nov 22: Kerajaan negeri akan melaksanakan sebanyak lima projek pembangunan baru untuk Bahagian Serian tahun hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata antaranya ialah projek pembinaan bangunan Pejabat Residen Serian yang baru dijangka bermula sekitar Febuari tahun hadapan selepas dikeluarkan tendernya.

“Keduanya ialah projek pembinaan sebuah pusat komersil baru yang akan dibangunkan Borneo Development Corporation,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat dan Taklimat Mengenai Pembangunan Bahagian Serian di Pejabat Residen Serian, di sini, semalam.


Juga menghadiri taklimat terbabit ialah Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben dan ADUN Bukit Semuja, John Ilus.

Abang Johari berkata projek ketiga ialah menaiktaraf Jalan Padawan dan keempat membabitkan projek pembesaran kampung yang terdapat di kawasan Tebakang Melayu.

“Satu lagi ialah projek CIQ (Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin ). CIQ (Tebedu) itu dibawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri tetapi projek pembangunan terbabit terletak berdekatan kompleks itu dan akan dilaksanakan kerajaan negeri,” katanya,

Beliau tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai kesemua lima projek tersebuttermasuk dari segi kos keseluruhanya yang ditanggung kerajaan negeri tetapi memberi jaminan pihaknya akan memantau rapi perlaksanaannya tahun depan. — DayakDaily