Syarikat tempatan Sarawak kian berani terokai pasaran global

Naroden (tengah) merasmikan Hari Eksport Sarawak 2018.

SIBU, Nov 21: Syarikat tempatan di negeri ini sudah berani mengorak langkah meneroka pasaran di peringkat antarabangsa.

Buktinya, sepanjang tahun lalu, Sarawak telah mencatatkan prestasi eksport yang memberangsangkan iaitu berjumlah RM81.9 bilion.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, jumlah nilai eksport yang dijana itu menunjukkan peningkatan 22 peratus berbanding tahun sebelumnya.


Katanya, tahun sebelumnya nilai eksport yang direkodkan sebanyak RM63.9 bilion.

“Sehubungan itu, saya menggesa agar syarikat tempatan memanfaatkan teknologi sedia ada dalam melebarkan sayap perniagaan mereka.

“Komuniti perniagaan ini sewajarnya mengambil iktibar dengan memperlengkapkan syarikat mereka bagi menghadapi dunia digital global,” katanya semasa merasmikan Hari Eksport Sarawak 2018 di sini hari ini.

Menteri Muda MITEC Sarawak, Datuk Naroden Majais telah membacakan teks ucapan Wong dalam majlis perasmian berkenaan.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang Hari Eksport Sarawak 2018 itu ialah Program Go Export (Go-Ex), e-Trade, Geran Pembangunan Pasaran (MDG) dan Dana Perkhidmatan Eksport (ESF).

Program lain yang diadakan ialah mempromosikan kemudahan dan fasiliti disediakan kerajaan melalui Matrade khususnya kepada komuniti perniagaan di Sarawak. — DayakDaily