Polis cekup 4 pelajar IPTA disyaki edar ganja

Kelihatan dadah jenis ganja yang dirampas.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 26: Tindakan empat pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja akhirnya mengundang padah apabila mereka diberkas polis di sebuah rumah di Kampung Sungai Cina Matang di sini, semalam.

Keempat-empat suspek lelaki yang berusia antara 21 hingga 24 tahun itu ditahan oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak kira-kira pukul 4 petang.

Ketua JSJN Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, dalam serbuan itu, pasukan polis berjaya menemui satu botol plastik bertutup dan di dalamnya terdapat dua paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 33.69 gram.

Katanya, polis juga menjumpai satu bekas tin bertulis POCKY dan di dalamnya terdapat dua ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 76.49 gram.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu kotak bertulis PUMA dan di dalamnya terdapat tujuh paket plastik lutsinar yang masing-masing berisi ketulan dedaun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 154.23 gram.

“Antara lain, polis juga merampas masing-masing satu alat pengisar ganja, alat penimbang digital dan anak pokok ganja setinggi 10cm,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar menambah, siasatan awal mendapati kesemua suspek terlibat dalam aktiviti kegiatan pengedaran di sekitar kawasan Matang sejak awal tahun ini.

Katanya, ujian air kencing kesemua suspek juga didapati positif dadah jenis tetra hydrocannabinol (THC).

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6B dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” jelasnya. — DayakDaily