Wanita sarat mengandung cedera di kepala, jururawat cedera di pipi selepas ambulans dirempuh

Kelihatan sebuah ambulans dalam keadaan terbalik.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 26: Tiga orang petugas Klinik Kesihatan Kota Samarahan dan seorang wanita yang sarat mengandung berdepan dengan detik mencemaskan apabila ambulans yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Nissan X-Trail di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu telah mengakibatkan ambulans tersebut terbalik dan mengakibatkan seorang jururawat cedera di pipinya.


Lebih malang, seorang pesakit wanita yang hendak bersalin itu mengalami kecederaan di bahagian kepalanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian itu, ambulans tersebut dikatakan sedang dalam perjalanan ke Hospital Umum Sarawak.

Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di simpang lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, berhampiran Kompleks Belia dan Sukan di sini, sebuah Nissan X-Trail telah merempuh ambulans tersebut.

Gambar yang dipetik dari sebuah video yang dikongsi di atas talian yang dipercayai menunjukkan ambulans dirempuh oleh Nissan X-Trail.

“Kesan rempuhan kuat itu menyebabkan ambulans berkenaan terbalik di laluan tersebut hingga mengakibatkan pesakit wanita dan jururawat mengalami kecederaan.

“Pemandu Nissan X-Trail yang berusia 74 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu Nissan X-Trail itu untuk membantu siasatan.

Katanya, mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily