Polis buru lelaki disyaki ‘pembuli jalanan’ di Kuching

Gambar tangkap latar dari video yang tular.

KUCHING, 27 Feb: Polis kini sedang memburu seorang lelaki yang videonya tular melakukan provokasi serta menunggang motosikal dengan melulu dan merbahaya di Jalan Tabuan Tranquality.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kejadian dipercayai berlaku pada 25 Feb sekitar jam 3.10 petang.

“Video berdurasi 2.59 minit tersebut memaparkan sebuah motosikal nombor pendaftaran QAB649B yang ditunggang seorang lelaki tidak bertopi keledar, menunggang secara melulu serta melawan arus dan melakukan provokasi kepada pengguna jalan raya lain.

“Pihak polis sedang mengesan penunggang motosikal terbabit dan memohon orang ramai menyalurkan maklumat berkenaan penunggang motosikal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya.

“Belum ada laporan polis diterima berkaitan video tersebut setakat ini,” katanya. ā€” DayakDaily