Polis buru 4 suspek samun kedai serbaneka di Semariang

Keadaan di dalam kedai yang diselerakkan suspek semasa kejadian tersebut

Oleh: Juetila Ozzy

KUCHING, 8 Dis: Polis kini memburu empat lelaki dipercayai warga tempatan yang disyaki melakukan samun ke atas sebuah kedai serbaneka di Jalan Semariang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata keempat-empat suspek dikatakan telah menyebabkan dua lelaki, termasuk pemilik kedai serbaneka cedera dalam insiden yang berlaku sekitar jam 10 malam tadi.


“Suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan yang identitinya masih dalam siasatan.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut diminta untuk menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu semasa kejadian dua mangsa terbabit sedang dalam proses menutup kedai apabila didatangi keempat-empat suspek.

Keadaan di dalam kedai yang diselerakkan suspek semasa kejadian tersebut

“Seorang daripada suspek menumbuk pekerja kedai dan apabila pemilik kedai meminta mereka beredar juga turut dicederakan.

“Tiga daripada suspek kemudian dikatakan masuk ke dalam kedai melakukan samun sebelum mereka beredar selepas itu,” katanya.

Kerugian akibat samun masih dalam siasatan.

Pemilik kedai berusia 43 tahun yang cedera di belakang kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulan.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. — DayakDaily