Semua inisiatif dan program KPDNHEP disambung semula selepas PKPB ditamatkan

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

Oleh Chirs Bishop

KUCHING, 8 Dis: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan aktiviti dan inisiatif kementerian seperti Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang dilancarkan pada Julai lalu selain Program Jelajah Francais 2020.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia berikutan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri dan daerah seluruh negara.


Jelas beliau keputusan yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan satu keputusan yang tepat dan semestinya memberi khabar gembira buat rakyat termasuk komuniti peniaga dan pengguna.

“KPDNHEP juga melihat perkembangan terbaharu ini sebagai peluang untuk membuka semula sektor perniagaan dan merancakkan aktiviti ekonomi domestik negara.

“Kementerian turut giat melaksanakan pelbagai usaha untuk mempromosikan KBBM dan PJM melalui media massa dan sosial.

“Ini sebagai satu suntikan semangat kepada para pengeluar dan usahawan untuk menghasilkan lebih banyak produk atau perkhidmatan berkualiti, dan sudah pasti pada harga berpatutan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Alexander bangga apabila siri animasi Upin & Ipin iaitu Barang Baik, Barang Kita (Episod 14) yang diterbitkan khas bagi mempromosikan KBBM dan PJM merekodkan lebih 5 juta tontonan sejak mula disiarkan melalui platform YouTube minggu lalu.

Katanya ia antara pendekatan inovatif pihak kementerian dalam mempromosikan inisiatif berkenaan di kalangan rakyat termasuk kanak-kanak.

Selain itu semua Pejabat KPDNHEP Negeri akan menggerakkan inisiatif yang sama seperti Kempen Kembali Ke Sekolah 2021, Program bantuan kepada mangsa bencana, Program Foodbank kepada Siswa IPT di samping program pemantauan dan pemeriksaaan premis perniagaan.

“Kes-kes Tribunal Pengguna Malaysia yang tertangguh dan pelan tindakan juga telah disusun untuk dilaksanakan,” ujar beliau.

Di samping itu beliau yang juga MP Kapit menggesa rakyat memanfaatkan pelbagai kemudahan yang telah disediakan di mana kementerian telah mempermudahkan banyak proses atau ‘ease of doing business’ dalam banyak sektor.

Sebagai contoh katanya, peniaga kini dengan mudah memohon untuk menjalankan jualan murah dengan mengisi maklumat yang diperlukan melalui aplikasi MySalesTracker.dan pengguna pula boleh mendapatkan maklumat jualan murah di aplikasi tersebut sebelum keluar rumah. – DayakDaily