Polis Bintulu berjaya temui semula barangan kemas yang dirompak

Barangan kemas yang berjaya ditemui semula oleh polis.

BINTULU, Jan 11: Polis Bintulu berjaya menemui semula lima rantai emas bernilai RM3,430 yang dilarikan perompak dalam beberapa kejadian pecah rumah di bandar itu pada bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkipli Suhaili berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota polis telah melakukan serbuan di Kampung Sebiew di sini pada pukul 10 pagi semalam.

Katanya, serbuan yang dilakukan itu kemudian berjaya memberkas seorang lelaki berusia 26 tahun yang disyaki merupakan suspek utama kes pecah rumah di sini.


“Hasil siasatan lanjut, suspek mendedahkan telah menggadai barang kemas itu di sebuah premis pajak gadai di pusat bandar ini.

“Susulan maklumat itu, pasukan polis kemudian melakukan serbuan di premis pajak gadai terbabit dan menemui semula barangan kemas yang disyaki dijual di situ,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkipli memberitahu, polis sedang mengenal pasti hubungan suspek dengan pemilik premis pajak gadai terbabit.

Jelasnya, suspek direman selama lima hari untuk siasatan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah,” ujarnya lagi. — DayakDaily