Polis berkas dua individu disyaki miliki dadah bernilai RM45,000

Kelihatan dadah yang dirampas oleh polis daripada kedua-dua suspek.

PADAWAN, Sept 13: Dua individu termasuk seorang wanita diberkas polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu serbuan di Taman Tematu Hill, Jalan Stephen Yong di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa berkata, kejayaan serbuan dan tangkapan itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan.

Menurutnya, serbuan tersebut telah dilaksanakan oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan.


“Ia merupakan kejayaan besar di daerah Padawan setakat ini dengan rampasan 12 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 296.68 gram.

“Nilai semasa dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM45,000,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Merbin menambah, dalam serbuan sama, pihaknya turut menyita sebuah kereta Proton Wira bernilai RM10,000 yang disyaki digunakan kedua-dua suspek untuk melakukan jenayah itu.

Katanya, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM5,294 daripada kedua-dua suspek.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. — DayakDaily