Polis berjaya tumpas kes menyebabkan cedera parah

Merbin (dua dari kiri) bersama pegawai polis menunjukkan barang-barang kes yang dirampas.

KUCHING, Sept 10: Tiga suspek yang menyebabkan cedera parah dengan menggunakan parang dan batang besi pada Sept 8 telah ditangkap oleh pihak polis semalam.

Menurut pemangku ketua polis daerah Kuching Supt Merbin Lisa, polis telah berjaya menumpas kes tersebut dalam tempoh 24 jam setelah kesemua suspek yang dipercayai terlibat telah berjaya diberkas kira-kira jam 5.40 petang.

Merbin mengesahkan bahawa satu laporan polis telah diterima pada Sept 8, 8.20 pagi daripada seorang pengusaha premis makanan di kawasan Jalan Abell menyatakan bahawa dua orang pekerjanya telah cedera akibat diserang oleh tiga orang lelaki yang tidak dikenali kira-kira 5.30 pagi pada tarikh yang sama.


ā€œAkibat daripada itu, kedua-dua orang pekerja tersebut telah mengalami kecederaan sehingga terpaksa dirujuk ke Borneo Medical Centre. Mangsa pertama mengalami luka di pergelangan ibu jari sebelah kiri manakala mangsa kedua mengalami luka di bahagian kepala. Walau bagaimanapun kedua-duanya di dalam keadaan stabil,ā€ kata Merbin menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebaik sahaja menerima maklumat risikan, sepasukan polis daripada Cawangan Jenayah Berat (D9), bahagian siasatan jenayah Kuching telah bergerak ke lokasi persembunyian kesemua suspek iaitu di kawasan MJC Batu Kawa dan seterusnya telah berjaya menangkap tiga orang suspek utama yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Menurut Merbin, kesemua suspek adalah warga tempatan.

ā€œSebaik tangkapan berjaya dilakukan, soal-siasat lanjut telah dijalankan dan membawa kepada rampasan barang-barang kes seperti pakaian kesemua suspek yang dipakai pada hari kejadian, satu bilah parang, satu batang besi paip dan juga sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil yang digunapakai oleh mereka dalam kejadian.

ā€œSemasa tangkapan dilakukan kesemua suspek dalam keadaan agresif dipercayai di bawah pengaruh bahan terlarang. Suspek kemudiannya telah dibawa ke pejabat JSJ IPD Kuching untuk tindakan lanjut,ā€ katanya lagi.

Semakan ke atas rekod jenayah mendapati ketiga tiga-tiga suspek ini mempunyai rekod lampau jenayah harta benda dan juga dadah.

Salah seorang suspek juga mempunyai rekod jenayah kekerasan di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya serta `wanted` untuk kesalahan PKP yang direkodkan di daerah Serian.

Saringan urin kemudiannya telah dijalankan ke atas ketiga-tiga suspek tersebut dan mendapati kesemua mereka positif bagi dadah jenis Methampethamine.

ā€œSelain daripada itu, polis mendapati ketiga-tiga suspek juga dipercayai terlibat dalam dua lagi kes rompak yang masing-masing berlaku di sebuah rumah kediaman di kawasan Padungan pada Sept 7 dan satu kes rompak dengan mendatangkan cedera yang berlaku pada Sept 9 di Pasaraya E-Mart Batu Kawa.

ā€œKes yang sedang disiasat ini atas kesalahan mendatangkan cedera parah dengan senjata di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mana memperuntukkan hukuman pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat,ā€ kata Merbin.

Permohonan reman ke atas ketiga-tiga suspek telah diluluskan Mahkamah Magistret Kuching selama tujuh hari mulai bagi membantu siasatan pihak polis. ā€” DayakDaily