Polis Belaga berkas lelaki warga asing miliki dadah

Gambar komposit menunjukkan suspek dan dadah yang dirampas polis.

Oleh Dean Adam

BELAGA, Okt 18: Pasukan polis Belaga berjaya memberkas seorang warga asing selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di simpang Murum-Belaga di sini semalam.

Jurucakap polis berkata, suspek berusia 27 tahun itu diberkas oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Belaga.


Katanya, pemeriksaan lanjut telah menemui satu kotak rokok warna putih yang mengandungi tiga bungkusan plastik lutsinar dan satu keratan tiub straw warna biru yang berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu di dalam pakaian suspek.

“Anggaran berat kasar dadah itu adalah 16.8 gram dan dianggarkan bernilai RM1,250.

“Suspek kemudian dibawa ke IPD Belaga untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan.

Kes ini ujarnya disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya.

“Jika didapati bersalah, supek boleh dihukum penjara tidak kurang 2 tahun dan sebatan,” katanya. — DayakDaily