KUCHING, 5 April: Polis Sarawak akan menumpukan rondaan operasi jalan raya di 49 lokasi kerap berlaku kemalangan sepanjang Op Selamat 22 bersempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata lokasi laluan tersebut telah dikenalpasti di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran.
Katanya, selain laluan kerap berlaku kemalangan, tumpuan juga akan diberikan ke atas jalan yang sering mengalami kesesakan lalulintas, kawasan perumahan dan penempatan orang ramai.
“Operasi bertujuan menurunkan kadar kemalangan jalan raya di negeri ini di sepanjang tempoh perayaan ini dengan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalulintas.
“Kita juga ingin mewujudkan rasa selesa dan selamat di kalangan pengguna jalan raya iaitu dengan meletakkan pegawai dan anggota polis di 49 lokasi terpilih iaitu yang sering berlaku kemalangan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, polis menasihatkan kepada semua pengguan jalanraya supaya mematuhi peraturan lalulintas serta mematuhi arahan daripada anggota penguatkuasa yang bertugas di jalan raya di sepanjang tempoh musim perayaan ini.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengguna jalan raya yang didapati melanggar dan tidak mematuhi peraturan lalulintas,” katanya.
Seramai 700 pegawai dan anggota dari pelbagai cawangan akan terlibat sepanjang Op Selamat 22.
Selain itu, beliau turut memberitahu operasi juga bertujuan mencegah jenayah pecah rumah ke atas rumah-rumah yang ditinggalkan semasa penghuni pulang bercuti.
“Anggota kita akan membuat rondaan berkala bagi memastikan premis dan rumah-rumah kediaman yang ditinggalkan itu berada dalam keadaan selamat dari sebarang perlakuan jenayah,” katanya.
Oleh demikian kita mohon orang ramai supaya memberi kerjasama dan memaklumkan kepada pihak polis apabila meninggalkan rumah kediaman di musim perayaan ini.
“Kita berharap operasi ini akan dapat mencapai matlamat yang disasarkan, iaitu mengurangkan kadar kemalangan dan dapat mencegah kejadian pecah rumah di sepanjan musim perayaan ini,” katanya. — DayakDaily