KUCHING, 28 Jun: Kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai langsung kepada rakyat berjumlah RM10 bilion sehingga hujung tahun ini menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia melibatkan bayaran tambahan bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sehingga RM500 pada bulan Julai dengan bayarannya mulai esok, 29 Jun.
“Manakala BPR fasa ketiga dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM1,400 akan dibayar pada bulan September nanti.
“Bulan September juga akan melibatkan bayaran ke atas kes-kes lulus rayuan BPR.
“Secara keseluruhannya, nilai BPR sehingga hujung tahun adalah RM4.9 bilion,” katanya semasa mengumumkan Pemulih hari ini.
Tambah Muhyiddin, pakej tersebut tersebut turut menyediakan pemberian Bantuan Khas Covid-19(BKC) dengan kadar dan kategori yang telah ditetapkan.
Pertama katanya, isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada bulan Ogos, RM500 pada November dan RM300 pada Disember.
Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.
“Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember. Manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos.
“Ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada bulan Ogos nanti.
“Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion,” ujar Muhyiddin.
Seterusnya kata beliau, PEMULIH turut menyediakan bantuan kehilangan pendapatan sebanyak RM500 pada Oktober nanti.
Bantuan akan disalurkan kepada pekerja yang kehilangan pendapatan berdasarkan data KWSP atau PERKESO dalam tahun 2021.
Jelas Muhyiddin, bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga 1 juta ahli yang melibatkan implikasi kewangan RM500 juta. — DayakDaily