KUCHING, 15 Feb: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2030.
Katanya, ia berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang menetapkan strategi jangka panjang yang menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Tiga objektif yang ditetapkan adalah mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara.
“Selain untuk melahirkan rakyat yang menghargai serta mengamalkan perpaduan, dasar ini akan membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab,” katanya pada ucapan pelancaran dasar secara maya.
Tambah Muhyiddin, bagi memastikan objektif tercapai, sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya agen penggerak perpaduan yang terdiri daripada badan bukan kerajaan, pihak swasta serta pemegang taruh berkaitan adalah sangat penting.
Menurut beliau lagi, penggubalan Dasar Perpaduan Negara adalah berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Katanya, ia adalah selaras dengan dasar-dasar utama negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Rancangan Malaysia Lima Tahun dan dasar-dasar lain yang berkuat kuasa.
“Rakyat Malaysia sejak sekian lama berpegang kepada Rukun Negara yang percaya kepada Tuhan, setia kepada Raja dan negara, menjunjung keluhuran perlembagaan, menghormati kedaulatan undang-undang dan sentiasa bersopan dan bertatasusila dalam pergaulan seharian.
“Tidak kiralah samada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, orang asal atau mana-mana etnik sekalipun, bergelar warganegara Malaysia, maka inilah ciri-ciri yang wajib kita hayati,” katanya.
Sementara itu, beliau bangga dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama di kala negara masih berdepan dengan gelombang Covid-19.
“Berbekalkan slogan #KitaJagaKita, rakyat bersama-sama bersatu membantu Kerajaan dalam menyebarkan mesej yang positif, menyokong usaha Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ternyata rakyat Malaysia berjiwa patriotik kerana bersatu hati berjuang memerangi musuh yang tidak kelihatan.
“Marilah kita menggerakkan seluruh kekuatan dan kudrat untuk terus menyebarkan semangat perpaduan dalam keadaan yang amat mencabar pada masa ini,”ujar Muhyiddin. — DayakDaily