Gaduh di Chonglin dipercayai sebab wanita

Ahli kumpulan terbabit yang berjaya diberkas polis setakat pagi tadi.

KUCHING, 15 Feb: Insiden pergaduhan sekumpulan lelaki di hadapan bangunan Chonglin Plaza Hotel di Green Road semalam adalah berpunca dari seorang wanita.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani yang turut memberitahu sembilan lelaki telah ditangkap setakat pagi ini.

Beliau memberitahu, kejadian pergaduhan tersebut yang videonya tular di media sosial sejak semalam dilaporkan berlaku sekitar jam 5 petang.

“Telah berlaku rusuhan di antara dua pihak dan siasatan awal setakat ini disyaki berpunca dari seorang wanita sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati antara satu sama lain.

“Susulan itu, berpandukan laporan yang diterima, seramai sembilan daripada mereka telah ditahan dan beberapa peralatan yang digunakan sebagai senjata serta dua buah kereta dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya tangkapan dibuat di beberapa kawasan di bandaraya ini dan di Padawan.

Ahli kumpulan terbabit yang berjaya diberkas polis setakat pagi tadi.

Kes tersebut disiasat di bawa Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Difahamkan usaha menjejaki saki baki ahli kumpulan yang terlibat pergaduhan tersebut juga masih dijalankan. — DayakDaily