Penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Sri Aman-Kuching

Keadaan motosikal mangsa yang remuk selepas kemalangan tersebut.

SRI AMAN, 15 Feb: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah pikap di KM72 Jalan Sri Aman-Kuching semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa berusia 21 tahun dan beralamatkan dari Kampung Ampungan, Serian.

Mangsa semasa kemalangan tersebut berlaku dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuching menuju ke Sri Aman iaitu sekitar jam 7.30 malam.


“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah pikap yang dalam perjalanan dari arah Sri Aman menuju ke Kuching.

“Impak kemalangan tersebut menyebabkan mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemandu pikap dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Sri Aman untuk tindakan selanjut.

“Selain itu, sampel darah mangsa dan pemandu pikap tersebut juga akan diambil untuk tujuan kimia,” kata Alexson.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily