KUCHING, 31 Jan: Ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan, kata Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, ia berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90 peratus sektor ekonomi dan kebanyakan aktiviti sosial.
“Pemulihan tersebut disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir keseluruhan populasi telah divaksinasi,” katanya dalam kenyataan Sempena Tahun Baru Cina 2022.
Dengan momentum pemulihan kata Ismail, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan yang kukuh untuk terus berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada 2022.
Ia selari dengan unjuran oleh IMF pada 6.0 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.
Ujar beliau, pertumbuhan ini akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang bernilai RM332.1 bilion, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial.
“Penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
“Semua ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 melalui pelbagai inisiatif yang digariskan,” katanya.
Dalam pada itu, sempena Tahun Harimau ini, Ismail berharap segala usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sehingga ke tahun-tahun seterusnya.
“Marilah kita terus bersatu hati menyokong usaha kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan semula ekonomi negara bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya,” ujar beliau. ― DayakDaily