PKR Swak gesa Ordinan Tabung Konsesi Hutan 1985 dedahkan hasil kutipan

Abun Sui Anyit

KUCHING, 14 Mac: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak gesa badan pengurusan Ordinan Tabung Kawasan Konsesi Hutan 1985 mendedahkan kepada awam hasil yang diperolehi daripada syarikat peneroka kayu balak sejak tahun 1985.

Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak Abun Sui Anyit berkata, badan tersebut ditubuhkan untuk mengutip hasil cukai daripada syarikat-syarikat balak seluruh Sarawak.

Katanya, hasil kutipan itu sepatutnya digunakan untuk meningkatkan taraf hidup dan menjaga kepentingan penduduk kampung yang berada dalam kawasan konsesi hutan.


“Namun setelah 36 tahun, penduduk yang tinggal di kawasan yang berada dalam lingkaran konsesi masih daif.

“Penduduk masih miskin dan taraf kesihatan serta pendidikan masih berada di taraf terendah,” kata Abun dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyaran agar penduduk yang berada di kawasan konsesi untuk bangkit.

Jelas beliau, penduduk harus meminta penjelasan daripada ahli badan pengurusan satu laporan kewangan terperinci berkenaan pengurusan hasil kutipan cukai daripada syarikat balak.

“Ahli lembaga pengurusan juga harus bersikap telus dan mengeluarkan laporan pengurusan dana serta jujur dalam mengendalikan hak rakyat terjejas akibat aktiviti-aktiviti pembalakan selama ini,” ujar Abun. — DayakDaily