PKR: Sarawak sepatutnya kuatkuasa PKP penuh

Abun Sui Anyit

KUCHING, 29 Mei: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa Kerajaan Sarawak menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya.

Ketua Penerangan PKR Abun Sui berkata, ini bersandarkan kepada kadar kes positif baru Covid-19 di negeri Ini yang merupakan yang tertinggi dalam negara.

Katanya, ia juga tertinggi di peringkat dunia secara purata per sejuta penduduknya.


“Berdasarkan data ini, Kerajaan Sarawak tidak boleh bersikap sambil lewa dan bersikap ego serta mengatakan Sarawak masih terkawal.

“Ketua Menteri digesa untuk menguatkuasakan PKP lockdown sepenuhnya di seluruh Negeri Sarawak untuk mengelak penularan Covid-19 yang lebih banyak di negeri Ini selepas perayaan Gawai ini,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abun, PKR Sarawak mengambil maklum jumlah harian terkini kes positif Covid-19 yang mencecah sebanyak 9,020 di seluruh negara.

Walau bagaimanapun katanya, PKP yang dikuatkuasakan oleh Sarawak mulai hari ini hingga 11 Jun dikatakan tidak seketat PKP yang pertama tahun lepas.

Jelas beliau, ia bukanlah PKP sepenuhnya atau total lockdown yang sepenuh seperti yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan mulai 1 hingga 14 Jun 2021.

“Beberapa hari lalu tular satu video di jeti pekan Kapit tentang penumpang bot express berpusu-pusu dan berhimpit-himpit tanpa SOP sekurang-kurangnya jarak 1 meter keluar dari bot express.

” Ini menyebabkan kita risau melihat keadaan tersebut yang berkemungkinan besar akan mencetus kluster baharu dalam tempoh 14 hari ke depan?

“Ini belum termasuk di jeti – jeti lain di seluruh Sarawak,” ujar Abun. — DayakDaily