PKR Sarawak: Reformasi penjagaan kesihatan harus jadi agenda penting Sarawak

Dr Michael Teo

KUCHING, 22 April: Reformasi penjagaan kesihatan harus menjadi agenda penting untuk pembangunan sistem kesihatan Malaysia khususnya di Sarawak, kata Ketua Biro Kesihatan PKR Sarawak Dr Micheal Teo.

Katanya, reformasi itu diperlukan untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan kesaksamaan terutamanya untuk menghadapi penyakit kritikal dan kronik yang serius.

Ujarnya, kerajaan persekutuan pimpinanan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus bekerjasama memperkukuhkan sistem kesihatan di Sarawak bagi membolehkan sistem tersebut lebih berkemampuan dalam menyediakan perkhidmatan yang bekualiti seterusnya berupaya menyelamatkan lebih banyak nyawa pesakit.


“Sistem hospital terutamanya di kawasan pedalaman harus dipertingkatkan bagi memudahkan penduduk setempat menikmati kemudahan sistem kesihatan yang selamat tanpa perlu melalui perjalanan lima hingga enam jam untuk mendapatkan perkhidmatan pakar.

“Rakyat Sarawak juga memerlukan lebih banyak pusat rawatan kanser dan dialysis untuk mencegah pesakit daripada terpaksa mengharungi perjalanan berjam-jam dan kos pengangkutan yang tinggi untuk mendapat rawatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Namum begitu, menurut Dr Teo, isu kesihatan di Sarawak tidak diberikan perhatian sewajarnya dan tahun demi tahun ramai nyawa yang terkorban.

Katanya, terdapat banyak hospital serta klinik kesihatan kerajaan dari Lundu hingga Lawas mengalami masalah infrastruktur, kekurangan peralatan dan kepakaran terutamanya dari segi kemudahan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sementara itu, Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Agnes Padan berkata, ramai pesakit di Sarawak mengalami jurang perbezaan dalam memperoleh perkhidmatan penjagaan kesihatan dan situasi ini semakin ketara ketika pandemik Covid-19 melanda.

Agnes Padan

Katanya, ramai pesakit kanser dan penyakit kronik yang serius mengalami kelewatan dari segi diagnosis dan rawatan kesihatan akibat penularan pandemik tersebut

“Contohnya mendiang Jessica Liew, seorang pesakit Kanser Rahim Tahap 4 yang mengikuti pembedahan dan rawatan kemoterapi tidak dapat kembali ke Hospital Likas Wanita dan Kanak-kanak pada bulan Ogos 2020 kerana penutupan sempadan serta ketiadaan kepakaran yang diperlukan di kawasan sendiri.

“Kami berusaha untuk membantu beliau dan mengatur dokumen untuk mendapatkan izin perjalanan bantuan pengangkutan agar dia dapat akhirnya menuju ke Likas. Kami juga berusaha untuk mendapatkan beliau beberapa bantuan kebajikan yang kritikal sebelum beliau meninggal pada bulan Mac 2021,” katanya.

Jelas beliau, situasi sama turut menimpa seorang lagi pesakit dari Lawas, Christopher, 30, yang mengadu kepada PKR Miri pada November tahun lalu selepas berdepan dengan gejala penyakit buah pinggang yang semakin teruk.

Katanya, pesakit tersebut tidak berkemampuan untuk membeli tiket penerbangan ke Miri bagi siasatan lebih lanjut di Hospital Umum Miri disebabkan Hospital Lawas tidak mempunyai pakar ginjal.

“Dr Teo, Ahli Parlimen Miri, berbesar hati untuk membantu membayar tambang untuk pesakit dan isterinya ke Miri pada akhir November 2020.

“Setelah dua kali menghadirkan diri di Unit Kemalangan dan Kecemasan Hospital Miri, dia terpaksa menunggu siasatan lanjut dan biopsi buah pinggang pada pertengahan Januari 2021 disebabkan perkhidmatan kerajaan tempatan terlalu banyak dan senarai menunggu panjang. Sedihnya, pada bulan April 2021 beliau meninggal dunia di Hospital Miri,” katanya.

Tambah Agnes, Sarawak merupakan negeri yang kaya dari segi sumber alam dan antara negeri yang paling banyak menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Namun begitu, kata beliau, Sarawak juga merupakan antara negeri yang mencatat kadar kemiskininan tertinggi di Malaysia.

“Sifat menganak tirikan Sarawak dalam pelbagai bidang harus dihentikan dan Sarawak berhak mendapat kemudahan yang saksama seperti Negeri lain.

“Nyawa rakyat Sarawak tidak harus digadaikan dan kesihatan semua rakyat Sarawak mesti diutamakan sebagai agenda yang paling kritikal ketika pandemik Covid-19,” katanya. — DayakDaily