KUCHING, 10 Sept: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mahu Undi18 dipinda dan dikuatkuasakan dengan segera untuk menarik minat generasi muda melibatkan diri dalam isu politik di Malaysia.
Undi18 adalah usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Ketua Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak, Jame Stephen berkata, kajian menunjukkan pada tahun 2017 sebanyak 70 peratus generasi muda di Malaysia tidak berminat untuk melibatkan diri dalam isu politik.
“Jika diteliti menerusi perkembangan pembangunan sosial, ekonomi dan politik dalam kalangan generasi muda, Malaysia sebenarnya bersedia untuk membenarkan belia berumur 18 hingga 20 tahun untuk memilih dan memastikan amalan demokrasi untuk mencapai apa yang dikatakan sebagai ‘international best practice’.
“Sewajarnya generasi muda perlu diberikan pendidikan dan pendedahan tentang isu politik agar dapat pemahaman yang tepat dan betul, dan menjadi rakyat yang bijak memilih dan mengundi.
“Selain itu, ianya juga berpotensi melatih anak muda untuk melibatkan diri dalam bidang politik negara dan dapat memperbaiki isu politik dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jame berkata, majoriti negara yang mengamalkan sistem demokrasi membenarkan rakyat mereka seawal usia 18 tahun untuk mengundi dan menjadi penentu dasar dan hala tuju negara.
“Undi18 wajar dilaksanakan agar keseimbangan politik dalam negara dapat mencapai kata sepakat dan mewujudkan sebuah negara yang lebih maju dari segi pembangunan, ekonomi, sosial dan politik walaupun beberapa perkara harus diselesaikan dahulu,” ujarnya.
Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menangguhkan pelaksanaan Undi18 yang dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September 2022.
Pada 3 Sept yang lalu, Mahkamah Tinggi Kuching telah memutuskan bahawa tindakan kerajaan persekutuan dan SPR untuk menangguhkan Undi18 sebagai “tidak rasional, tidak sah dan dianggap sebagai penindasan ke atas pengundi”.
Oleh itu, Mahkamah telah mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan SPR untuk mempercepat pelaksanaan Undi18 selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini. — DayakDaily