PKR: Kontraktor kerja penurapan jalan di Batu 16, Jalan Puncak Borneo abaikan keselamatan pengguna

Kelihatan sepasang suami isteri yang cedera dalam kemalangan di Batu 16, Jalan Puncak Borneo disebabkan oleh kerja penurapan jalan di situ yang tidak mematuhi peraturan keselamatan.

KUCHING, April 19: Kerja penurapan jalan di Batu 16, Jalan Puncak Borneo mengundang risiko kepada orang ramai, khususnya penunggang motosikal, kata Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Keadaan ini disebabkan oleh sikap kontraktor yang menjalankan kerja tersebut mengabaikan aspek keselamatan kepada pengguna jalan raya apabila gagal mematuhi peraturan keselamatan dan tiada pemantauan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ketua cabang PKR Puncak Borneo, Willie Mongin berkata tinjauannya di lokasi tersebut pagi ini, mendapati tiada sebarang usaha pihak berwajib meletakkan papan tanda dan lampu amaran di situ.


“Saya menggesa pihak berwajib dapat mengambil tindakan dengan kadar segera kerana sudah tiga kemalangan berlaku sejak dua hari lalu melibatkan penunggang motosikal.

“Keadaan ini lebih buruk lagi pada waktu malam kerana keadaan jalan yang gelap,” katanya.

Sehubungan itu, Willie menasihatkan agar orang ramai khususnya penunggang motosikal agar berhati-hati ketika melalui jalan tersebut.

Petang semalam, sepasang suami isteri cedera selepas terbabit kemalangan disebabkan oleh keadaan jalan yang diturap itu tidak baik dan tiada tanda amaran dipasang oleh kontraktor.

Difahamkan, kejadian turut disaksikan oleh Menteri Muda Pengangkutan yang juga ADUN Mambong, Datuk Dr Jerip Susil. — DayakDaily