Penduduk di sepanjang Jalan Puncak Borneo terputus bekalan air

Water. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, April 19: Seluruh pengguna di kawasan Jalan Puncak Borneo sehingga ke Kampung Sarig, Kampung Pesa, Kampung Pulau Kandis dan Kampung Menjau terputus bekalan air sejak semalam.

Keadaan itu menyebabkan sebilangan besar penduduk di kawasan terbabit mengalami kesukaran khususnya untuk mandi dan memasak.

Menurut seorang penduduk yang enggan dinamakan, pihaknya tidak membuat persediaan dengan menyimpan bekalan air kerana menyangka masalah itu tidak berlarutan lama.


“Kami tidak dapat mandi semalam, malah hendak memasak pun susah kerana tidak ada air,” katanya ketika dihubungi.

Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menerusi notis pemberitahuan yang dikeluarkan kelmarin, menyatakan bahawa gangguan bekalan air di daerah Padawan itu akan berlaku pada April 18 (semalam) dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Bagaimanapun, sehingga pagi ini masalah tersebut masih belum pulih dan tiada air di kawasan-kawasan yang terjejas.

Menurut kenyataan JBALB, gangguan berlaku disebabkan oleh kegagalan kuasa di pam penggalak di Batu 10, Kota Padawan di mana pihaknya sedang berusaha untuk menyelesaikannya dengan secepat mungkin. — DayakDaily