PKR Hulu Rajang guna lambang ‘mata’ parti untuk pilihan raya negeri, pilihan raya umum akan datang

Lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR)

KUCHING, 11 Sept: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Cabang Hulu Rajang telah membuat keputusan untuk menggunakan lambang ‘mata’ parti semasa Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Parti berkenaan dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu telah dibuat setelah mengambil kira faktor lambang terbabit sudah sebati dengan rakyat tempatan di Hulu Rajang.

“Lambang ini juga sangat dikenali dan telah lama bertapak di kalangan rakyat dan pengundi Hulu Rajang.


“Lebih penting dan membanggakan lagi adalah kerana lambang inilah yang telah mengalahkan rejim Kerajaan Barisan Nasional yang telah memerintah selama 60 tahun pada 9 Mei 2018.

“Lambang ini juga merupakan lambang pembawa semangat dan pembaharuan reformasi sebenar yang sangat diperlukan oleh Malaysia dan Sarawak termasuk di Hulu Rajang,” katanya.

Keputusan tersebut telah dipersetujui sebulat suara dalam satu mesyuarat cabang PKR Hulu Rajang secara maya semalam (10 Sept). – DayakDaily