PKR dahulunya bagus tetapi tidak sekarang, kata Willie

Datuk Willie Mongin

Oleh Chris Bishop

SIBURAN, Jun 9: Bekas pemimpin PKR yang juga MP Puncak Borneo Willie Mongin akui PKR dahulunya sebuah parti yang bagus tetapi tidak sekarang.

Menurut beliau, perbalahan pemimpin dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada kemelut politik Februari lepas yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan(PH) di antara sebab parti tersebut tidak kukuh seperti sediakala.


“Sebagai sebuah parti, saya akui PKR adalah parti yang bagus. Saya telah berjuang sejak tahun 1998 di mana pada masa itu saya adalah sukarela di bawah Gerakan Reformasi.

“Saya menyertai PKR pada tahun 2009 setelah berkali-kali dipujuk agar aktif dalam politik.

“PKR adalah parti yang bagus tetapi tidak pada masa sekarang,” kata Willie ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke Kilang Lung Kong Rubber Sdn Bhd di Siburan hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi turut memaklumkan bahawa masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik dan enggan mengulas lanjut.

Katanya, pada masa kini politik adalah sesuatu yang dinamik dan pemimpin tidak semestinya berada di sebuah parti sepanjang masa.

“Politik adalah dinamik dan ia juga demokrasi. Ini adalah kerana demokrasi berkaitan dengan kebebasan memilih dan mengundi.

“Ia juga berkaitan dengan kebebasan memilih landasan yang sesuai untuk membela rakyat,” ujar Willie yang juga bekas ketua PKR Mambong.

Pada kemelut politik Februari lepas, Willie bersama MP Saratok Ali Biju memilih untuk keluar dari PKR dan bersama MP yang lain membentuk blok bebas dalam parlimen.

PKR Sarawak terus goyah selepas itu ekoran tindakan bekas pengerusi yang juga MP Selangau Baru Bian membuat keputusan keluar parti dan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Jejak Baru turut dikuti ADUN Batu Lintang See Chee How.

Pada minggu lepas, Naib Presiden PKR yang juga MP Lubok Antu Jugah Muyang turut mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). — DayakDaily