PKR persoalkan janji perkhidmatan jalur lebar di seluruh Sarawak pada penghujung 2020

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, Jun 9: Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh mempersoalkan janji kerajaan Sarawak mencapai liputan penuh perkhidmatan jalur lebar di seluruh negeri menjelang penghujung tahun 2020.

Menurut beliau, peruntukan RM1 bilion yang diumumkan oleh Ketua Menteri dalam persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa 2018 untuk liputan menyeluruh dan lebih laju masih belum menampakkan impak yang jelas.

“Sebahagian lokasi di kawasan luar bandar masih jauh ketinggalan.

“Manakala rancangan kampung tanpa wayar yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu hanya merupakan pembaziran.

“Impak besarnya telah jelas tergambar bila kita berhadapan dengan serangan Covid-19.

“Perancangan yang gagal telah menyusahkan semua pihak terutama sekali pihak yang sangat memerlukannya, iaitu sektor pendidikan,” menurut beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Abang Zulkifli, masalah pembelajaran atas talian terus menjadi masalah kepada guru, ibu bapa dan murid- murid sekolah di Sarawak.

Menurut beliau, kemudahan infrustruktur telekomunikasi adalah asas kepada masalah ini selain tahap kemampuan ibu bapa juga merupakan kekangan kepada kelancaran pembelajaran melalui talian.

“Ramai di antara ibu bapa tidak mampu memiliki gajet seperti komputer atau telefon bimbit yang mempunyai perisian yang baik.

“Manakala ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai juga akan berhadapan masalah kerana tidak mampu memiliki gajet yang mencukupi,” ujar beliau lagi. — DayakDaily