Willie gesa penoreh getah di Sarawak memohon Insentif Pengeluaran Getah

Willie(tengah) berbincang dengan Pengarah Lung Kong Rubber Sdn Bhd Ho Toh Ching pada lawatan ke kilang tersebut di Siburan.

SIBURAN, JUN 9: Lembaga Getah Malaysia (Sarawak) akan aktif mewar-warkan program Insentif Pengeluaran Getah (IPG) di seluruh negeri ini agar ramai lagi penoreh getah dapat menikmatinya.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Willie Mongin, usaha itu perlu kerana hanya 2 peratus sahaja daripada 57,000 pekebun kecil getah berdaftar di Sarawak yang menuntut insentif berkenaan.

“Jumlah yang memohon insentif ini kurang kerana tidak ramai penoreh getah yang terlibat dalam aktiviti penorehan dan mereka tidak menjual hasil mereka pada masa ini.


“Akibatnya, cuma 2 peratus sahaja yang menuntut IPG daripada pihak kerajaan,” kata Willie ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke Kilang Lung Kong Rubber Sdn Bhd di Siburan hari ini.

Tambah Willie, harga semasa getah yang rendah juga menjadi salah satu punca kenapa penoreh tidak melakukan aktiviti menoreh walaupun getah yang dikeluarkan Sarawak berkualiti tinggi.

Di samping itu katanya, kemungkinan ramai penoreh getah sudah berusia dan golongan muda tidak berminat untuk menjadi penoreh.

Justeru beliau menyarankan agar syarikat-syarikat korporat terlibat di dalam aktiviti menanam pokok getah dan menoreh secara komersyil agar dapat mempertahankan industri getah negara.

“Langkah seterusnya ialah kita harus mengenalpasti setiap penoreh di Sarawak yang seramai 57,000 ini.

“Sama ada mereka masih aktif atau tidak, dan sekiranya mereka masih aktif kita hendaklah beri kesedaran kepada mereka. Sebab mungkin kadang-kadang mereka ini tidak sedar IPG ini wujud,” katanya.

Menurut Willie lagi, harga getah ketika ini ialah RM2.10 dan Kerajaan Persekutuan memberi IPG berjumlah RM1 untuk setiap 1 kilogram getah yang dijual dan ini menjadikan harga getah RM3.10.

“Untuk Negeri Sarawak, kita bernasib baik kerana di atas keperihatinan Kerajaan Negeri, tambahan RM0.50 diberikan untuk setiap kilogram getah.

“Maka penoreh getah di Sarawak boleh menikmati harga getah lebih kurang dalam RM3.50 ke RM3.60,”ujar Willie lagi.—DayakDaily