PKR Baram gesa kerajaan tumpukan usaha perangi Covid-19 di pendalaman

Roland Engan

KUCHING, 1 Feb: Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Baram menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberi penerangan yang jelas berhubung Covid-19 kepada penduduk di kawasan pendalaman.

Ketuanya Roland Engan berkata, pengetahuan berhubung kaedah memutuskan rangkaian jangkitan dan vaksin imunisasi yang diperkenalkan nanti harus diterangkan kepada mereka.

“Saya beri cadangan dengan penekanan bahawa penduduk di kawasan pedalaman yang sangat terhad dari segi akses pada sistem kesihatan yang baik perlu mendapat penerangan yang jelas tentang Covid-19.


“Sistem telekomunikasi yang terhad di kawasan pedalaman memerlukan pihak seperti JPBNS untuk bertindak dengan lebih kreatif, praktikal dan inklusif untuk menerangkan pandemik Covid-19, cabaran dan penyelesaiannya,” ujar beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Roland yang juga Naib Pengerusi PKR Sarawak, sesi penerangan itu harus melibatkan pelbagai agensi kerajaan, persatuan penduduk, NGO, parti politik, agama selain syarikat swasta.

Katanya, penularan Covid-19 ke kawasan pedalaman berpunca daripada ketidakpatuhan pada prosedur operasi ‘standard’ (SOP) dan tahap disiplin yang berbeza-beza di kalangan orang kerajaan sendiri.

“Pengisytiharan darurat tidak cukup kerana ia masih tidak menyekat aktiviti harian penduduk negara walaupun sidang Parlimen dan DUN digantung.

“Perintah Kawalan Pergerakan juga tidak cukup kerana ia hanya melibatkan usaha memutuskan rangkaian jangkitan dan hanya dilaksanakan setelah penduduk didapati positif Covid-19,” ujar beliau.

Roland sekali menegaskan bahawa semua yang berjawatan dalam kerajaan Malaysia dan kerajaan Sarawak mesti diberi suntikan vaksin Covid-19 terlebih dahulu.

Jelas beliau, ia untuk memastikan mereka boleh meneruskan tanggungjawab mentadbir negara, negeri, jabatan, bahagian dan daerah dengan lancar demi kepentingan rakyat.

“Seterusnya, saya ulang bahawa penduduk di kawasan pedalaman diberi vaksin kemudian iaitu selepas orang kerajaan dan barisan hadapan menerima vaksinasi mereka,” ujar Roland. — DayakDaily