Adun Simanggang hulurkan bantuan makanan kepada rumah panjang dibawah ‘lockdown’

Francis (tengah) menyerahkan bantuan makanan kepada wakil Rh Lang di Sungai Putong, Undop, Sri Aman yang disumbangkan oleh SUPP cawangan Simanggang.

SIMANGGANG, Feb 1: Rasa tanggungjawab dan simpati dengan nasib yang menimpa penduduk rumah panjang ketika dikenakan perintah larangan keluar atau masuk bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, ADUN Simanggang Datuk Francis Harden Hollis telah menyumbangkan bantuan makanan untuk meringankan beban mereka baru-baru ini.

Rh Lang di Sungai Putong, Ulu Paku, Undop, Sri Aman telah dikenakan perintah ‘lockdown’ kerana terdapat kes positif Covid-19.

“Penduduk yang berada di rumah panjang tidak dibenarkan keluar dan penduduk yang berada di luar rumah panjang tidak dibenarkan masuk dalam tempoh 14 hari. Keadaan ini menyulitkan pergerakan penduduk untuk mencari rezeki. Dalam menjalankan perintah larangan keluar ataumasuk, kerajaan telah membekalkan bantuan makanan dalam tempoh tersebut,” kata Francis.


Ketika dikenakan perintah larangan keluar atau masuk terutama di rumah panjang, jika dilihat dari sudut positif, Francis menasihat penduduk kampung mengambil peluang tersebut untuk mendekatkan diri dalam perhubungan kekeluargaan.

Baru-baru ini, beliau juga menyerah bantuan kepada Rh Ayai di Kpg Putat, Sri Aman. Bantuan makanan berupa daging basah dan makanan kering disumbangkan oleh SUPP cawangan Lingga. — DayakDaily