Oleh Brad Rantayy
MIRI, 15 Jan: Susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beberapa lokasi sekatan jalan raya (SJR) telah mula didirikan di daerah ini, iaitu sebanyak tiga lokasi di Miri, dua di Marudi dan masing-masing satu di Beluru serta Telang Usan.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, orang ramai yang ingin pergi ke daerah lain perlu memohon permit polis di mana-mana satu balai polis seperti Balai Polis Miri; Balai Polis Lutong; Balai Polis Tanjong Lobang; Balai Polis Airport; Balai Polis Bekenu; Balai Polis Niah; Balai Polis Marudi dan Balai Polis Long Lama.
“Setakat semalam (Khamis) sebanyak 4,492 permohonan permit polis telah diterima iaitu sebanyak 2,628 pada 13 Januari dan 1,864 pada 14 Januari,” kata Lee, yang juga merupakan Menteri yang bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Bahagian Miri pada satu sidang media di sini hari ini.
“Untuk memudahkan serta memberikan keselesaan kepada orang ramai ketika memohon permit polis, jawatankuasa ini akan memasang kanopi dan menyediakan kerusi di Balai Polis Miri, Tanjong Lobang dan Lutong,” jelasnya.
Beliau berkata orang ramai yang membuat permohonan permit akan boleh duduk dengan selesa di samping dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Manakala, jumlah kes Covid-19 yang masih dalam rawatan di Hospital Miri setakat hari ini adalah sebanyak 75 kes.
Berikut adalah statistik Covid-19 yang terkini – Kluster Bah Sayap, Miri (Kes positif 88), dan Kluster Jelita, Miri (Kes positif 23) dan Rumah Emah (berkaitan Kluster Pasai, Sibu) (Kes positif 19).
Situasi Covid-19 mula dikesan pada 11 Januari apabila individu dari Rumah Emah pergi menghadiri upacara pengebumian di Rumah Langi Pasai Siong, Sibu.
Menyedari perkara ini, JPBB terus mengambil tindakan untuk ‘lockdown’ rumah panjang tersebut dan telah meminta sesiapa dari Miri yang ada ke Rumah Langi Pasai Siong, Sibu agar berhubung dengan Pejabat Kesihatan Miri untuk melakukan ujian swab Covid-19.
“Setakat ini, kita telah menerima 59 orang dari Rumah Emah yang tampil ke Stadium Tertutup Miri untuk ujian swab Covid-19,” jelas Lee.
Beliau menambah, pejabat Kesihatan Bahagian Miri juga telah ke Rumah Emah dan Rumah Apol untuk melakukan ujian swab ke atas penduduk di kedua-dua rumah panjang tersebut, pada 13 Januari.
Empat buah rumah panjang berhampiran dengan Rumah Emah telah dikenakan perintah sekatan pergerakan iaitu Rumah Apol ; Rumah Anthony; Rumah Chabu dan Rumah Justine.
Setakat ini, lima buah rumah panjang di Beluru telah dikenakan penyekatan. — DayakDaily