PKPB: Penganjuran majlis sosial, pertunangan dan kahwin tidak dibenarkan di Zon Merah

A file photo of a wedding celebration. Photo credit: Pixabay

KUCHING, 26 April: Penganjuran majlis sosial seperti kenduri-kendara, upacara pernikahan, majlis perkahwinan dan pertunangan tidak dibenarkan di dalam zon merah di Sarawak.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kemas kini prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini turut tidak membenarkan majlis resepsi.

“Turut tidak dibenarkan di zon merah ialah majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion, retreat dan lain-lain majlis sosial,” katanya.


Dalam kenyataan itu juga, JPBNS hari ini telah memutuskan PKPB di 16 zon di Sarawak dilanjutkan sehingga 17 Mei mulai esok.

Dalam pada itu, pusat jagaan kanak-kanak, tabika, tadika dan taska dibenarkan beroperasi tertakluk kepada kelulusan oleh Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) Sarawak.

Manakala, tadika dan taska yang berada di kawasan zon merah adalah ditutup berkuatkuasa 20 April lalu sehingga 3 Mei ini.

“Walau bagaimanapun, taska yang beroperasi bagi memberikan perkhidmatan penjagaan anak-anak petugas barisan hadapan dibenarkan beroperasi setelah mendapat kelulusan dari Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak KWKPK,” katanya. — DayakDaily