PKPB: Muhyiddin mohon maaf, perjalanan rentas negeri untuk meraikan perayaan tidak dibenarkan

Bidayuh children show their moves at the `Authentic Gawai 2019’ at Annah Rais on Friday evening (May 31, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Mei: Perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan meraikan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tidak dibenarkan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata larangan pergerakan tersebut masih berkuatkuasa setelah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun, 2020.


“Dalam tempoh ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari tentang larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa dalam tempoh ini.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” katanya pada Perutusan Khas dari Putrajaya.

Namun tambah Muhyiddin, larangan atau kesukaran yang dihadapi pada masa sekarang tidak bermakna perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai tidak boleh diraikan.

Katanya, amalan kunjung mengunjung dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.

“Jadi tak perlulah buat jamuan besar-besaran atau rumah terbuka.

“Setiap keluarga hendaklah mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitiser sepanjang sambutan perayaan ini.

“Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat,” ujar beliau.

Sedar ramai yang sedih tak dapat meraikan perayaan bersama keluarga di kampung, Muhyiddin menyeru semua agar bersabar.

Katanya, bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, rakyat bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara.

“Stesen-stesen TV dan Radio bolehlah mainkan lagu Dendang Perantau sekali-sekala. Kalau dimainkan selalu saya pun berasa sayu juga.

“Mainkanlah lagu-lagu Hari Raya yang boleh menceriakan suasana. Saya tengok dalam YouTube ada lagu ‘Jange Kelik La Weii’. Lagu ni pun OK lah,” ujar beliau. — DayakDaily