PKP: SOP zon hijau dibentangkan minggu hadapan

Foto fail memaparkan operasi sekatan jalan raya (SJR) di bandar raya Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 28: Prosedur operasi ‘standard’ (SOP) di zon hijau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dibentangkan pada minggu hadapan.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan untuk memperkenalkan SOP tersebut kini sedang diperingkat akhir.


“Seperti yang kita tahu, banyak zon telah diisytiharkan sebagai zon hijau Covid-19.

“Kita masih berbincang untuk menyediakan SOP supaya jika ada kelonggaran di zon hijau, SOP tetap perlu dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PKP di Putrajaya hari ini.

Menurut Ismail Sabri, terdapat keperluan untuk mengeluarkan SOP di zon hijau setelah penduduknya didapati tiada gejala jangkitan Covid-19.

“Sebagai contoh kawasan tertutup seperti perumahan dimana keseluruhan penduduknya telah lebih sebulan tidak dibenarkan keluar tetapi didapati tiada gejala di kalangan mereka.

“Mungkin kita cadangkan mereka dibenarkan keluar mengikut masa dan blok yang telah ditetapkan, tetapi tidak keluar dari kawasan mereka,” katanya sambil berkata pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab menyediakan SOP tersebut.

Berhubung tangkapan ingkar PKP, beliau memaklumkan bahawa polis semalam telah menahan seramai 489 individu di seluruh negara berbanding 606 pada hari sebelumnya

Katanya, ia merangkumi 465 individu yang telah direman dan 24 individu yang diberikan jaminan polis.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP setakat ini adalah 21,106 individu,” ujar Ismail Sabri. — DayakDaily