PKP: Pergerakan antara negeri bukan 1 hingga 3 Mei, diputuskan selepas semua maklumat diperolehi, kata Ismail Sabri

Traffic. — DayakDaily file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 26: Tarikh pergerakan antara negeri bukannya pada 1 hingga 3 Mei, tetapi akan diputuskan kerajaan setelah menerima maklumat pemohon-pemohon sehingga 1 Mei 2020.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat kekeliruan berhubung pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam bahawa tarikh pergerakan telah ditetapkan pada 1 hingga 3 Mei 2020.


“Saya hendak memperbetulkan sedikit kekeliruan semalam apabila PDRM mengeluarkan kenyataan bahawa pergerakan bermula pada 1 hingga 3 Mei.

“Sebenarnya, seperti yang saya sebutkan bahawa sehingga 1 Mei adalah tempoh pendaftaran.

“Pendaftaran boleh dibuat di atas talian melalui aplikasi Gerak Malaysia dan sesiapa yang tidak mempunyai aplikasi tersebut boleh melaporkan ke balai polis berdekatan secara temujanji,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian berkaitan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) di Putrajaya hari ini.

Menurut Ismail Sabri lagi, permohonan dibuka sehingga 1 Mei dan selepas tarikh itu semua maklumat yang diperolehi dari balai-balai polis akan dikaji.

“Seterusnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN), PDRM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berbincang dan mengeluarkan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) tentang bagaimana kepulangan dilaksanakan.

“Selepas mencadangkan SOP, cadangan perlu dibawa ke mesyuarat khas menteri-menteri untuk diluluskan.

“Kalau kita luluskan, barulah tarikh pergerakan boleh ditetapkan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata pergerakan berskala besar tersebut melibatkan banyak isu.

Sebagai contoh katanya, bagaimana kalau mereka tiada kereta dan bagaimana pula kalau lima sekeluarga di dalam satu kereta yang melanggar akta.

“Bagi yang tiada kereta, bolehkah disewa bas? Banyak perkara yang perlu dibincangkan.

“Selain mesyuarat khas menteri-menteri pada waktu pagi, isu ini juga harus dibawa ke jawatankuasa khas MKN yang dipengerusikan perdana menteri,” tegas Ismail Sabri. — DayakDaily