PKP: Klinik haiwan dan veterinar dibenarkan beroperasi secara temujanji

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 26: Klinik haiwan dan klinik veterinar dibenarkan beroperasi secara temujanji di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia untuk melegakan keresahan orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan rawatan untuk haiwan peliharaan mereka.


“Kerajaan bersetuju untuk membenarkan klinik haiwan dan klinik veterinar dibenarkan beroperasi tetapi perkhidmatan adalah berdasarkan temujanji.

“Pemilik haiwan boleh menghubungi klinik berdekatan untuk mendapatkan tarikh temujanji dan ini adalah untuk mengelakkan kesesakan di klinik,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media harian PKP di Putrajaya hari ini.

Berhubung kesalahan ingkar PKP, beliau memaklumkan bahawa polis semalam telah menahan seramai 557 individu berbanding 386 individu pada hari sebelumnya.

Menurut beliau, ia merangkumi 505 individu yang telah direman dan 72 individu yang diberikan jaminan polis.

“Sudah tiga hari berturut-turut jumlah tangkapan ingkar PKP menurun, tetapi pada hari ini meningkat kembali.

“Saya hendak ingatkan bahawa PKP masih belum ditamatkan. Tindakan polis masih seperti biasa, tegas dan keras kepada sesiapa sahaja yang melanggar PKP,” ujar beliau.

Ismail Sabri juga menyeru pematuhan PKP juga dilakukan di kawasan zon hijau dan mereka yang ingkar tetap akan di tangkap pihak polis. — DayakDaily