PKP: Pelajar IPT berkemungkinan dibenarkan pulang

Ismail Sabri addressing a press conference in Putrajaya.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Apr 21: Pelajar Institut Pengajian Tinggi(IPT) yang berada di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) berkemungkinan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedang memperhalusi prosedur operasi standard(SOP)yang ketat jika ada keputusan untuk membenarkan pelajar pulang.


“Hasil pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selepas sebulan mendapati tiada kluster Covid-19 di kampus dan pelajar-pelajar tidak menunjukkan gejala jangkitan Covid-19.

“Mesyuarat bersama KKM, Majlis Keselamatan Negara(MKN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memperhalusi SOP jika ada keputusan untuk membenarkan pelajar IPT pulang ke rumah masing-masing.

“SOP ini penting bagi mengelakkan pergerakan besar-besaran oleh kira-kira 100,000 pelajar IPT di seluruh negara,’katanya pada sidang media harian PKP di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kerajaan memahami permasalahan ibu bapa termasuk pelajar-pelajar IPT yang rasa tertekan kerana begitu lama berada di kampus masing-masing.

Pada mesyuarat yang lepas katanya, kerajaan telah membuat keputusan bahawa mereka terus tinggal di kampus sehingga mendapat nasihat daripada KKM.

“Mereka telah berada di kampus lebih daripada 28 hari. Jika telah menjalani kuarantin sepanjang tempoh ini dan masih tidak bergejala, kita boleh menganggap bahawa mereka tiada jangkitan Covid-19.

“Maka, kita berbincang tadi bahawa ada kemungkinan kita boleh membenarkan mereka pulang tetapi kita mahu satu SOP yang ketat.

“Kita tidak mahu 100,000 pelajar-pelajar ini pulang serentak ke tempat masing-masing,” katanya.

Menurut Ismail lagi, pelajar-pelajar ini mungkin perlu menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan pulang.—DayakDaily.