PJKM catat jualan RM7.8 juta sejak diperkenalkan 2 Dis

Orang ramai mengambil peluang membeli barangan keperluan sempena Program Jualan Keluarga Malaysia.

KUCHING, 15 Jan: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang bermula 2 Dis lalu berjaya menarik kedatangan 426,305 pengunjung di 274 lokasi seluruh negara dan mencatat jualan sebanyak RM7.8 juta.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Dato Stanley Tan, maklumbalas pengunjung yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala.

Katanya, pengunjung mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan telah meningkat.


“Sehubungan dengan itu, atas permintaan Perdana Menteri, PJKM kini diperluaskan meliputi kawasan-kawasan parlimen yang belum pernah diadakan.

“Ini supaya rakyat di parlimen tersebut turut sama menikmati barang-barang yang ditawarkan dengan harga sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Stanley, KPDNHEP Sarawak dengan kerjasama agensi-agensi dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan kini melebarkan PJKM di seluruh negeri Sarawak meliputi Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.

Antara pasaraya yang terlibat pada minggu ini adalah Everrise Padungan, Kuching, Ming Ming Wholesale Bau, CYK Trading, Tebedu, Choon Cheong Pandaruan Limbang, Emart Bintulu, Everwin Taman Tunku, Miri dan Swan Square, Sibu.

PJKM kali ini berlangsung diselama dua hari bermula 15 Jan hingga 16 Jan 2022.

“PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah.

“Antaranya ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras, dan barangan keperluan rumah terpilih,” ujar Stanley.

Dalam pada itu katanya, KPDNHEP menggalakkan orang ramai di Kawasan Parlimen berkenaan untuk merebut peluang ini dalam merancang pembelian keperluan rumah dan seterusnya berjimat dari tawaran yang diberikan. — DayakDaily