KUCHING, Julai 15: Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya kembali memberikan kontrak membuat dan membekalkan pakaian seragam pelajar sekolah di negeri ini kepada persatuan itu.
Presiden PITSA, Salmah Ibrahim berkata mereka pernah menerima kontrak sedemikian dari Yayasan Sarawak selama 10 tahun berturut-turut tetapi pemberian kontrak telah diberhentikan sejak beberapa tahun lepas.
“Setiap tahun persatuan menerima kontrak terbabit bernilai lebih RM200,000 dan selama 10 tahun kontrak itu menjana pendapatan lumayan mencecah RM1 juta kepada persatuan. Sehubungan itu kami sehingga sekarang masih tidak menjual mesin jahit kerana berharap suatu hari kontrak terbabit akan kembali diterima persatuan,” katanya ketika bersama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Taska Qaseh Laila, di Jalan Ong Tiang Swee, di sini, semalam.
Salmah juga berharap kerajaan negeri mengembalikan pemberian kontrak tersebut kepada PITSA supaya ramai ibu tunggal yang menjadi ahlinya dapat bekerja menghasilkan pakaian seragam sekolah dengan persatuan.
“Sekiranya kami masih menerima kontrak terbabit, setelah ditolak gaji pekerja dan pelbagai potongan yang perlu, persatuan akan ada sedikit keuntungan bagi menjalankan aktivitinya dan kami tidak perlu lagi mengadakan aktiviti mengutip dana kewangan,” katanya.
Beliau menjelaskan sebelum ini ada empat pertubuhan termasuk PITSA menerima kontrak terbabit dari Yayasan Sarawak tetapi akhirnya hanya mereka sahaja mampu bertahan dalam perniagaan itu selama 10 tahun.
Bagaimanapun terdapat aduan pakaian seragam dihasilkan PITSA telah lambat sampai ke sekolah dan akhirnya pemberian kontrak dihentikan manakala pihak sekolah diberi peruntukan membeli sendiri pakaian seragam pelajar di pekan berhampiran.
“Memang ada pakaian seragam pelajar dihasilkan PITSA lambat sampai ke sekolah. Ini disebab kami terpaksa menumpang pengangkutan kontraktor pembekalan makanan ke sekolah itu yang terletak amat jauh di pendalaman seperti di ulu Kapit,” katanya.
Beliau menambah, bagi sekolah ada perhubungan jalan raya yang baik ahli persatuan akan menghantar sendiri pakaian itu. — DayakDaily