Pindaan Ordinan Bangunan Sarawak 1994 mungkin dikemukakan tahun depan

Bakrie (enam dari kanan) bersama peserta Bengkel Pindaan Ordinan Bangunan Sarawak.
Advertisement

KUCHING, Jun 24: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan mengemukakan pindaan terhadap Ordinan Bangunan Sarawak 1994 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan menjangkakan pindaan itu tidak menyebabkan kenaikan harga rumah dan hartanah lain di Sarawak.

Setiausaha tetapnya Bakrie Zaini berkata demikian dengan pihaknya sudah mula membincangkan butiran pindaan tersebut ketika ini bersama agensi berkaitan hartanah termasuk Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) Cawangan Sarawak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei, pihak berkuasa tempatan dan agensi serta persatuan lain berkaitan hartanah di Sarawak.

“Tidak (dijangka menyebabkan kenaikan harga hartanah di Sarawak). Kita (dalam membincangkan pindaan terbabit) sebolehnya tidak mahu menyebabkan apa-apa perkara yang boleh menaikkan lagi harga jualan hartanah pembinaan, kita akan elakkan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pindaan Ordinan Bangunan Sarawak anjuran kementerian itu, di sini, hari ini.

Advertisement

Bakrie menjelaskan ordinan tersebut perlu dilakukan pindaan kerana sudah berusia lebih 15 tahun dan agak banyak ketinggalan dengan perubahan teknologi pembinaan rumah dan hartanah ketika ini seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Sistem ‘Dry Wall’ yang tahan api.

“Kami menjangkakan pindaan terbabit tidak sempat dibentangkan di persidangan DUN Sarawak hujung tahun ini dan mungkin dapat dibentangkan pada persidangan itu pada Mei tahun depan,” katanya.

Katanya ada antara perkara dalam pindaan terbabit malahan boleh mengurangkan kos memiliki hartanah seperti membolehkan Permit Menduduki (OP) dipohon secara atas talian dengan ketika ini pihaknya dalam fasa terakhir bagi memulakan projek perintisnya di Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA).

“Dijangka awal tahun hadapan kita akan mula melaksanakan percubaan (permohonan OP secara atas talian) di semua pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Bakrie berkata ini membolehkan permohonan OP bagi hartanah di Sarawak lebih mudah dan perkembangan permohonan terbabit dengan pelbagai agensi dapat diperolehi pemohon dengan mudah dan seterusnya mengurangkan kos mereka menguruskannya. — DayakDaily

Advertisement